PETALING JAYA: UMNO memberi isyarat untuk memperhalusi semula kerjasama yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan, susulan kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin mengenai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu wajar dilakukan ketika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini.
“Kenyataan Yeo Bee Yin adalah amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.
“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
“Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran ‘satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ berserta berita mengenai Najib.
Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksanaan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61.
Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya. – UTUSAN










