Najib diarah bayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC

Najib diarah bayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungjawab terhadap kerugian berjumlah AS$1.3 bilion yang dialami SRC International Sdn. Bhd., selepas didapati melakukan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan saman difailkan SRC terhadap enam individu termasuk Najib.

Mahkamah memerintahkan Najib membayar AS$1.3 ­bilion kepada syarikat itu kerana menyalahgunakan kedudukannya dan bertindak dengan niat tidak baik dengan menyeleweng AS$120 juta ke dalam akaun bank peribadinya.

Bayaran itu melibatkan ganti rugi konspirasi, faedah seba­nyak lima peratus setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Jumlah itu merangkumi AS$1.18 bilion kerugian dan AS$120 juta sebagai ganti rugi yang ditetapkan manakala kos lain akan ditentukan kemudian.

Menerusi penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Hakim Ahmad Fairuz berkata, mahkamah mendapati defendan sebagai penasihat emeritus syarikat meme­gang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, bermula daripada penubuhan sehingga usaha menutup penyelewengan.

“Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011.

“Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada tahun 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan,” katanya.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, Najib juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada tahun 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbinca­ngan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.

“Beliau menyebabkan pindaan Perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham,” katanya.

Sementara itu, mahkamah turut berpendapat, tindakan Najib bukan disebabkan kecuaian atau kesilapan pertimba­ngan sebaliknya perbuatan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.

Justeru, katanya, Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif terhadap aset SRC yang di­selewengkan melalui penipuannya dan dikehendaki mengembalikan akaun dana terbabit dan keuntungan yang diperoleh.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak tuntutan Najib terhadap pihak ketiga membabitkan lima individu iaitu bekas pengarah syarikat SRC International, Datuk Suboh Md Yassin; Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin; Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar; Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Mahkamah mendapati tuntutan itu pada asasnya satu percubaan menggunakan bukti dan hujahan sama seperti yang dikemukakan dalam pembelaannya terhadap plaintif, bahawa pihak ketiga yang terdiri daripada Lembaga Pengarah SRC, mengawal operasi SRC dengan tujuan memindahkan liabiliti kepada semua pengarah terbabit.

Mahkamah memutuskan per­cubaan itu adalah gagal sama sekali kerana ia tidak dapat di­selaraskan secara logik dengan dapatan utama mahkamah bahawa Najib adalah pihak yang mengawal SRC.

Najib akan memfailkan permohonan rasmi untuk menangguhkan pelaksanaan denda itu sementara menunggu rayuan dalam tempoh 14 hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN