Mindef lancar Program Ikhtiar Autisme untuk anak tentera - Utusan Malaysia

Mindef lancar Program Ikhtiar Autisme untuk anak tentera

ADLY Zahari menyantuni pelajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini melancarkan Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) sebagai langkah memperkukuh kebajikan warga tentera.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebagai pengenalan, inisiatif tersebut dilaksanakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan PPDK Umi Kem Terendak, Melaka.

Katanya, seramai 10 kanak-kanak autisme ditempatkan di setiap PPDK bagi menjalani sesi Pelajaran-Terapi merangkumi 12 modul baharu yang direka khusus oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

“IA-ATM memberi fokus kepada kanak-kanak autisme berusia tiga hingga 15 tahun dalam kalangan anak-anak warga kerja pertahanan khususnya yang berada di kem-kem tentera.

“Objektif program ini antaranya mendengar dan mendapatkan input berkaitan keperluan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme daripada ibu bapa dan guru selain mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab sosial terhadap anak-anak istimewa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran IA-ATM 2025/2026 di PPDK Lautan Kasih di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (Takspa) Angkatan Tenteran Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Mohd. Sam Mohd. Yusof dan Komander Pengkalan Lumut, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi.

Hadir sama, Ketua Syariah Kumpulan Tabung Haji (TH), Imran Mohamad Khayat dan Penaung Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin.

Program berkenaan merupakan inisiatif baharu Mindef dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Nasom dengan pembiayaan disumbangkan Lembaga Tabung Haji.

Modul terapi yang dibangunkan khusus oleh Nasom itu melibatkan kos pembiayaan sebanyak RM2,200 bagi setiap peserta dengan pelaksanaan di kedua-dua PPDK itu melibatkan kos keseluruhan RM528,000.

Mengulas lanjut, Adly berkata, hasil interaksi bersama ibu bapa mendapati, terdapat peningkatan ketara dari segi perkembangan keupayaan anak-anak yang mengikuti terapi tersebut.

“Perkembangan ini memerlukan masa kerana keberkesanan terapi akan lebih jelas apabila usia kanak-kanak meningkat, namun kita melihat hasil awal yang amat memberangsangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN