JOHOR BAHRU: Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas didapati bersalah memperdaya seorang lelaki warga asing sebanyak RM700 bagi proses discaj di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Nor Shahira Abdul Razak, 29, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdaya Gazee Israfil supaya menyerahkan wang berjumlah RM700 bagi proses discaj di HSA di mana penama tersebut tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan tertuduh di kaunter polis bantuan unit hasil dan bilik daftar masuk HSA, pada Selasa lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Heng Wang Qianwei.
Wang Qianwei dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya yang tidak bekerja selain menanggung ibu bapa yang uzur dan adiknya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah dilaporkan berkata, wanita tersebut ditamatkan perkhidmatan sebagai sukarelawan Southern Volunteer (SV) sejak bulan lalu kerana tidak aktif.
Beliau dilaporkan berkata, individu tersebut bagaimanapun dipercayai masih menggunakan nama SV untuk menyamar sebagai kakitangan HSA bagi memperdaya orang awam di hospital berkenaan.
“Sukarelawan SV diletakkan di HSA bagi membantu kelancaran di ruang legar hospital berkenaan susulan kesesakan termasuk menolak kerusi roda pesakit. Justeru itu saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak merosakkan nama SV ini, ia adalah lambang dan imej negeri Johor,” katanya. – UTUSAN










