Menabung RM100 sebulan, hasrat tunai haji tercapai

Menabung RM100 sebulan, hasrat tunai haji tercapai

NORHUDA Hassan mengemas pakaian dan peralatan sebelum berangkat ke tanah suci Mekah di Felda Kota Gelanggi Empat, Jerantut, Pahang. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Konsisten menabung sebanyak RM100 sebulan sejak 2009, simpanan seorang warga emas dari Felda Kota Gelanggi Empat, di sini akhirnya mencukupi dan hasrat untuk ke tanah suci kesampaian tahun ini.

Norhuda Hassan, 68, berkata, dia menyimpan di Lembaga Tabung Haji (TH) setiap bulan selepas mendaftar untuk menunaikan haji pada 2009.

“Saya menyimpan azam mulai tahun berkenaan untuk menabung sebanyak RM100 setiap bulan, malah ada ketika kerap RM30 sahaja kerana wang tidak mencukupi ketika harga sawit rendah, musim buah melawas dan program tanam semula pokok.

“Lagipun komitmen perbelanjaan untuk anak bersekolah dan perbelanjaan dapur bertambah apabila tanggungjawab sepenuhnya di bahu saya sebagai ketua keluarga selepas suami meninggal dunia pada 2001,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ibu tunggal yang mempunyai empat anak berusia antara 35 tahun hingga 50 tahun itu berkata, wang simpanannya turut bergantung kepada pendapatan hasil sawit bulanan jika ada lebihan perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anak.

Norhuda berkata, dia bertekad ke tanah suci dan tidak mahu mensia-siakan harapan arwah suaminya, Mohamed Mat Arip yang kerap kali menasihatkan supaya berjimat dan menyimpan di TH sekiranya berhasrat menunaikan haji.

“Simpanan saya mencukupi hampir RM19,000 pada awal tahun lalu, tetapi belum dipanggil ke tanah suci walaupun pendaftaran sudah dibuat 16 tahun lalu.

“Setelah berjumpa dengan pegawai TH di sini, dia menasihatkan saya supaya ‘bersabar dan tunggu’ sahaja dalam masa terdekat dan akhirnya saya menerima tawaran berkenaan tahun ini,” katanya.

Menurutnya, semua keperluan untuk berangkat ke tanah suci pada 7 Mei ini sudah sempurna dengan bantuan anak-anak namun tetap berasa sedih kerana tidak dapat bersama suami mengerjakan rukun Islam kelima itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN