CYBERJAYA: Malaysia akan menyertai sidang khas global berkaitan isu sekatan di Selat Hormuz yang akan dianjurkan Perancis – United Kingdom (UK) malam ini.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyertai sidang khas itu.
“Malam ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron meminta Malaysia untuk menyertai sidang khas itu bagi membincangkan soal Selat Hormuz.
“Saya akan wakilkan kepada Menteri Luar, tetapi pendirian kita ialah harus ada kebebasan di laluan berkenaan.
“Bagaimanapun kita tak boleh menafikan hak Iran dan kegelisahan kita kerana tindakan Israel dan Amerika ke atas Iran selama ini. Jadi kita mengambil sikap yang lebih adil dan bebas,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya Malaysia bercadang menjual minyak kepada negara lain, Anwar menegaskan perkara itu tidak benar kerana kerajaan memberi keutamaan kepada keperluan domestik.
Katanya, Malaysia ketika ini memerlukan bahan tertentu seperti fosfat daripada rakan dagang termasuk Australia, manakala negara berkenaan pula memerlukan bekalan seperti urea.
“Isunya adalah keperluan bersama. Mereka perlukan urea, kita perlukan fosfat. Soal diesel pula, kita tidak mampu bekalkan kerana keutamaan adalah kepada rakyat. Jika ada lebihan, kita boleh pertimbangkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mendedahkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Australia berhubung keperluan strategik kedua-dua negara selain menolak tohmahan tidak berasas berkaitan urus niaga minyak. – UTUSAN










