Malaysia kekal penanda aras pengurusan zakat dunia

Malaysia kekal penanda aras pengurusan zakat dunia

ZULKIFLI Hasan menuangkan minyak enjin pada salah sebuah motosikal p-hailing pada Majlis Ramah Mesra Pemandu E-hailing dan P-hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi zakat di negara ini berada pada tahap kukuh, malah terus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, sistem semakan yang dilaksanakan turut membolehkan orang ramai menelusuri agihan zakat, sekali gus meningkatkan tahap ketelusan pengurusan dana zakat.

“Pelbagai institusi zakat termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menerima pengiktirafan dan anugerah di peringkat global, sekali gus membuktikan kecekapan pengurusannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aspek audit dan ketelusan turut mendapat pengiktirafan apabila laporan Ketua Audit Negara sebelum ini memuji pengurusan serta pelaksanaan agihan zakat yang teratur dan berdisiplin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Pemandu E-hailing dan P-hailing Barakah Pit Stop di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Zulkifli bagaimanapun berkata, tatakelola pengurusan zakat sedia masih perlu ditambah baik bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat kekal tinggi.

Katanya, penambahbaikan garis panduan masih diperlukan bagi memperkukuh sistem sedia ada, walaupun rangka rujukan pengurusan zakat telah lama diwujudkan.

“Usaha ini bukan kerana wujud kelemahan ketara, sebaliknya sebagai langkah memperkemas dan memperkukuh institusi zakat dari semasa ke semasa agar lebih berkesan dan relevan,” katanya.

Tambah beliau, pengurusan zakat di Malaysia kini digerakkan berasaskan tatakelola, profesionalisme dan prinsip tadbir urus yang jelas, selaras dengan standard antarabangsa.

“Malaysia kini dilihat mempunyai penanda aras yang tinggi dalam pengurusan zakat, namun usaha penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan sistem tersebut kekal diperkasakan,” katanya.

Dr. Zulkifli berkata, keyakinan rakyat terhadap institusi zakat perlu terus dipelihara kerana ia merupakan tonggak penting dalam sistem kebajikan Islam negara.

“Saya menyeru semua pihak untuk terus memberi sokongan kepada institusi zakat di Malaysia supaya setiap penambahbaikan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat lebih menyeluruh kepada umat Islam di negara ini, sekali gus menjadi contoh di peringkat dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini