PETALING JAYA: Malaysia mengutuk keras serangan berterusan terhadap pasukan pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) di Selatan Lubnan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan anggota.
Kementerian Luar berkata, tiga anggota pengaman dari Indonesia cedera pada Jumaat lalu.
“Serangan ini ialah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang serius dan mereka yang melakukannya mesti dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, dua anggota terbunuh pada Isnin lalu melibatkan insiden kedua dalam tempoh 24 jam di selatan negara itu, ketika Israel dan Hizbollah sedang bertempur.
UNIFIL berkata, anggota pengaman dari Indonesia terbunuh apabila letupan daripada punca tidak diketahui memusnahkan kenderaan mereka manakala dua lagi cedera dan seorang daripadanya parah.
Kementerian Luar menggesa semua pihak memastikan keselamatan kakitangan PBB dan menekankan ketakbolehcabulan Misi PBB.
“Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan tegas termasuk memastikan perlindungan segera pasukan pengaman PBB di Selatan Lubnan,” katanya. – UTUSAN










