Tiada orang tengah, MAINPP guna khidmat 38 entiti untuk kutip zakat

Tiada orang tengah, MAINPP guna khidmat 38 entiti untuk kutip zakat

MOHAMAD ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak pernah menggunakan khidmat orang tengah atau ejen bagi membuat kutipan zakat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sebaliknya, kutipan itu dibuat oleh wakil kutipan zakat sah yang dilantik oleh Zakat MAINPP.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, antara syarat utama untuk menjadi wakil kutipan itu ialah entiti terbabit mestilah beroperasi di Pulau Pinang dan berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Setiap permohonan pula akan melalui proses saringan dan penilaian yang teliti oleh pihak Zakat MAINPP dan permohonan yang memenuhi kriteria akan dibentangkan kepada pihak pengurusan, seterusnya kepada Lembaga Pengarah sebelum dikemukakan kepada MAINPP untuk kelulusan.

“Dalam hal ini, kuasa pelantikan (wakil kutipan zakat) adalah di bawah MAINPP,” katanya kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas mengenai penggunaan orang tengah atau ejen bagi membuat kutipan zakat di Pulau Pinang.

Isu kutipan zakat menerusi orang tengah hangat diperkatakan selepas berlaku kes penyelewengan dana kira-kira RM230 juta membabitkan urus tadbir dalaman sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam membuat kutipan zakat.

Mohamad berkata, di Pulau Pinang ketika ini, seba­nyak 38 entiti telah dilantik, merangkumi NGO, sekolah Islam, masjid/surau, institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan atas talian untuk membuat kutipan tersebut.

Katanya, tempoh pelantikan pula adalah selama dua tahun dan sepanjang tempoh berkenaan, mereka wajib mengemukakan laporan prestasi secara berkala serta tertakluk kepada pemantauan berterusan, termasuk audit dalaman bagi memastikan pematuhan dan mengelak sebarang ketirisan.

“Zakat MAINPP juga berhak menilai semula, menyambung atau menamatkan pelantikan mana-mana wakil kutipan berdasarkan prestasi dan tahap pematuhan yang ditetapkan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN