MELAKA: Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai memakan gula-gula mengandungi dadah milik pempengaruh media sosial berusia 39 tahun yang kini masih direman bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati gula-gula berkenaan dibeli suspek dari negara jiran sebelum menyimpannya di kediaman ibunya, yang juga merupakan pengasuh kepada kanak-kanak berkenaan.
“Siasatan mendapati mangsa secara tidak sengaja telah mengambil dan memakan gula-gula tersebut tanpa pengetahuan pengasuhnya.
“Mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri walaupun telah beberapa kali dikejutkan dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui gula-gula yang dimaksudkan dan dipercayai telah dihabiskan atau dialihkan sebelum serbuan dijalankan di rumah pengasuh di Sungai Putat.
Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti kandungan sebenar gula-gula tersebut serta sumber bekalannya.
Kelmarin akhbar melaporkan seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial, ditahan bagi membantu siasatan kes seorang budak perempuan tiga tahun positif dadah jenis tetrahydrocannabinol atau ganja.
Dzulkhairi berkata, lelaki berusia 39 tahun yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan, telah direman tujuh hari bermula 16 April dan disambung lagi lima hari hingga Isnin depan (27 April), bagi membantu siasatan.
Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, telah membuat tangkapan ke atas suspek kira-kira 9.30 malam pada 15 April, bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










