KUALA TERENGGANU: Seramai 715 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari seluruh Terengganu diraikan dalam Majlis Penghargaan Straight As SPM 2025 Negeri Terengganu anjuran Yayasan Pendidikan Maidam (YPM), sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian akademik luar biasa mereka.
Majlis yang julung kali diadakan itu bukan sahaja menjadi platform meraikan kejayaan, malah berperanan sebagai pemangkin motivasi dan inspirasi kepada generasi muda untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen berterusan YPM dan Maidam dalam memperkasa pembangunan pendidikan negeri.
Katanya, usaha tersebut selaras dengan agenda pembangunan modal insan yang menekankan kepentingan melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
“Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih tinggi pada masa hadapan.
“Malah kita akan jadikan program ini sebagai program tahunan bagi meraikan pelajar cemerlang di negeri Terengganu,” katanya selepas majlis itu yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Maidam, Abdul Latif Ibrahim di sini, hari ini.
Pelajar yang diraikan diharap bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mampu memanfaatkan perkembangan teknologi secara bijak dan beretika bagi memperkasa ilmu serta meningkatkan daya saing dalam dunia kerjaya yang semakin mencabar.
Selain itu, mereka diharapkan dapat kembali menyumbang kepada masyarakat dengan ilmu, kepakaran dan khidmat bakti demi kesejahteraan ummah serta pembangunan negeri.
Ahmad Azrin berkata, lebih RM70 juta diperuntukkan Maidam kepada YPM pada tahun lalu bagi memastikan manfaat pendidikan dapat disalurkan bukan sahaja kepada golongan asnaf, malah pelajar yang tidak tergolong dalam kategori tersebut.
Katanya, melalui peruntukan asnaf fi sabilillah, lebih 9,000 pelajar menerima manfaat setiap tahun, sekali gus menunjukkan trend peningkatan pencapaian pendidikan yang semakin memberangsangkan di negeri ini. – UTUSAN










