KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam Modul Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sedang diperhalusi sebelum dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, cadangan tersebut dibuat bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai sejarah pembentukan Malaysia serta peranan MA63 dalam struktur negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkata, modul tersebut bukan sahaja bertujuan memberi pemahaman mengenai hak yang terkandung dalam perjanjian itu, malah turut menekankan tanggungjawab bersama dalam membina negara.
“Kita baru cadangkan dan perbincangan pertama sudah dibuat dan kita sedang memperhalusinya sebab kita tidak mahu rakyat hanya memahami bagaimana untuk menuntut hak sahaja.
“Jangan lupa kita ada dua. Satu kita boleh tuntut hak kita, tapi kita juga ada tanggungjawab untuk membina negara kita. Jadi, kedua perkara ini kena selari,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat AKM Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Tambahnya, modul tersebut diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin dan sedang diusahakan supaya dapat diperkenalkan pada tahun ini.
Katanya, ia kerana MA63 yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada pembentukan negara menjadi asas kepada penyatuan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.
“Jadi, ini bukan isu regional (wilayah), bukan isu Borneo sahaja tapi sebenarnya ini macam seluruh negara. Jadi kefahaman rakyat ini penting.
“Saya sendiri mahu supaya modul ini dapat dilaksanakan secepat mungkin sebab ini penting untuk memberi kefahaman kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










