KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan tetap melaksanakan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya tidak pernah menafikan hak Sabah malah telah menetapkan tuntutan itu sebagai satu dasar yang mesti dilaksanakan.
Menurut beliau, kerajaan kini hanya meneliti kaedah pelaksanaan yang terbaik bagi memastikan tuntutan berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan selaras dengan peruntukan perundangan.
“Kita sedaya upaya melaksanakan janji kita. Saya mahu rakyat Sabah tahu bahawa memang harus diberi perhatian tentang 40 peratus tetapi jangan nafikan Sabah dianiaya, dianak tirikan atau disengsarakan.
“Apakah kita boleh nafikan hak 40 peratus? Tidak boleh. Sebab ini janji yang dimeterai pada tahun 1963,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Joachim Gunsalam serta Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Anwar berkata, buat pertama kali kerajaan menetapkan pendirian yang jelas bahawa isu hak 40 peratus Sabah bukan lagi perkara yang boleh diperdebatkan.
“Tiada lagi perdebatan, ini adalah dasar yang mesti dilaksanakan. Sekarang cabarannya adalah bagaimana pelaksanaannya kerana setiap keputusan melibatkan hak negeri mempunyai implikasi kepada Sarawak dan negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut meneliti peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, namun alasan berkaitan kedudukan kewangan tidak boleh lagi dijadikan sebab untuk menangguhkan pelaksanaan hak tersebut.
“Saya sudah beritahu rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa kita tidak boleh beri alasan itu lagi. Kita kena cari jalan. Sebab itu saya minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan berbincang secara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari formula terbaik untuk melaksanakan janji ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan geran khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion daripada RM600 juta ketika ini sementara menunggu formula pelaksanaan hak 40 peratus dimuktamadkan.
“Saya tidak mahu dianggap sengaja melengah-lengahkan perkara ini. Saya tekankan sekali lagi soal 40 peratus ini. Sama ada keputusan akhir dibuat pada Jun atau Disember, itu akan diputuskan oleh jawatankuasa berkaitan dan dibawa kepada kerajaan negeri serta rundingan antara Persekutuan dan Sabah.
“Tetapi untuk sekarang, interimnya yang sebelum ini RM600 juta dinaikkan kepada RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau terus menegaskan kerajaan tidak akan mengkhianati amanah atau memungkiri janji yang telah dibuat kepada rakyat Sabah.
“Saya lafazkan di Parlimen bahawa kerajaan Madani tetap akan melaksanakan janji 40 peratus untuk negeri Sabah. Saya tidak mahu dikenali sebagai orang yang tidak menunaikan janji atau mengkhianati amanah,” katanya. – UTUSAN










