PETALING JAYA : Sebuah rumah teres di Taman Sri Serdang dekat sini diserbu polis selepas menjadi setor penyimpanan rokok seludup bernilai lebih RM1 juta.
Serbuan kira-kira pukul 8 malam itu dilakukan sepasukan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman itu turun menahan lima individu termasuk seorang penyelia.
Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi tersebut dijalankan hasil risikan terhadap kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai kastam di sekitar Lembah Klang.
“Lima suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an diberkas bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai kastam disimpan di beberapa lokasi dalam rumah termasuk ruang tamu, dua bilik, stor dan ruang rehat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan selain turut diedarkan ke luar negara.
“Sebanyak 5,111 karton rokok pelbagai jenis dirampas dalam serbuan tersebut.
“Nilai rampasan dianggarkan RM1.02 juta, manakala jumlah keseluruhan termasuk cukai mencecah RM1.28 juta,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan rumah berkenaan sebagai lokasi transit sebelum rokok diedarkan secara tersusun bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Operasi ini berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran rokok tanpa cukai kastam di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










