Lima cedera dalam kemalangan libatkan tiga kenderaan termasuk ambulans

Lima cedera dalam kemalangan libatkan tiga kenderaan termasuk ambulans

TANGKAP layar yang diambil daripada satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan kemalangan melibatkan sebuah ambulans dan dua kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Gambir, berhampiran USM Pulau Pinang.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lima cedera apabila sebuah ambulans terlibat dalam satu kemalangan dengan dua buah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Gambir, berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, kira-kira pukul 11.02 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, ketika kejadian, ambulans itu tidak membawa pesakit, namun, sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit di sebuah asrama dalam USM.

Katanya, kemalangan tersebut berlaku apabila pemandu sebuah Perodua Axia iaitu seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun gagal memberi laluan kepada ambulans yang sedang melalui persimpangan lampu isyarat di situ walaupun siren amaran telah dibunyikan.

“Susulan perlanggaran berkenaan, ambulans terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pula sebuah Proton Saga yang sedang menunggu lampu isyarat di situ,” katanya di sini, hari ini.

Swee Sake berkata, akibat daripada perlanggaran itu juga, pemandu Perodua Axia tersebut cedera pada bahagian dada, tulang rusuk dan pinggang manakala pemandu ambulans yang berusia 51 tahun bersama tiga penumpang yang juga petugas perubatan pula mengalami kecederaan ringan.

Tambah beliau, seorang lagi mangsa iaitu pemandu Proton Saga yang berusia 65 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke depan bagi membantu siasatan polis,” ujarnya.

Rakaman video mengenai kejadian tersebut sebelum itu tular di media sosial dan mendapat banyak reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menggesa supaya pengguna jalan raya lebih peka serta memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans ketika berada di persimpangan lampu isyarat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN