Lelaki Thailand ditahan cuba seludup 400 liter petrol

Lelaki Thailand ditahan cuba seludup 400 liter petrol

KENDERAAN dipandu seorang lelaki Thailand yang diubah suai untuk menyeludup petrol ke negara itu berjaya ditahan AKPS di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Cubaan seorang lelaki warga Thailand menyeludup petrol ke negara itu berjaya dipatahkan selepas kenderaan dipandunya ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Tangkapan dibuat pada pukul 10.45 pagi di laluan keluar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam selepas petugas mengesan sebuah kenderaan berpendaftaran Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Komander Agensi Perlindungan dan Kawalan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusof berkata, pemeriksaan mendapati kenderaan itu diubah suai pada bahagian belakang serta ruang tempat duduk bagi tujuan menyeludup petrol.

Katanya, pemeriksaan rapi kemudiannya menemui kira-kira 400 liter petrol yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan dengan nilai dianggarkan RM1,550.

“Suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 50-an dan kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu turut dirampas yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,550,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, AKPS turut menahan 11 warga Thailand yang tujuh daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dalam pemeriksaan kira-kira pukul 11.30 malam, Sabtu lalu.

Fauzi berkata, sepasukan petugas AKPS pada mulanya menahan tiga van Thailand dalam keadaan mencurigakan di laluan Import Bas, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Selain tujuh tangkapan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63, kita turut memberkas empat lagi suspek di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

“Turut dirampas adalah ketiga-tiga van itu selain empat ekor kucing yang ditemui bersama tangkapan dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua tangkapan dipercayai datang dari sebuah pusat kebajikan di wilayah Ko Pha-ngan, Thailand dan dipercayai menuju ke selatan tanah air.

Ujarnya, kesemua tangkapan kini direman sehingga 18 April depan bagi siasatan lanjut dan mereka ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik, dekat sini.

“AKPS tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan pintu masuk negara. 

“Kami akan terus memperkukuhkan kawalan serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN