KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya yang berusia 83 tahun di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam di sini, minggu lalu.
Mohd. Azwan Muhammad, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap bapanya, Muhammad Ishak, 83, di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam kira-kira pukul 10.30 pagi pada 20 April lalu.
Mohd. Azwan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin dan Ahmad Nizam Mohamed.
Terdahulu, Mohd. Nadzir memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri. Dalam prosiding sama, Tengku Shazuan dan Ahmad Nizam turut mengemukakan salinan kad OKU mental milik anak guamnya.
Mahkamah kemudian mengarahkan Mohd. Azwan dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan psikiatri tertuduh dan laporan bedah siasat mangsa.
Pada 23 April lalu, seorang anak yang bertindak menumbuk bapanya hingga maut dalam kejadian di Kampung Masjid Baung Bayam, Kota Bharu, dilaporkan mempunyai masalah mental.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 41 tahun itu berbuat demikian selepas ditegur oleh bapanya yang merupakan warga emas semasa sedang membancuh minuman. – UTUSAN









