KOTA BHARU: Lapan buah rumah terbakar sehingga menyebabkan 30 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di salah sebuah kediaman tersebut meletup dalam kejadian di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini, malam tadi.
Dalam kebakaran kira-kira pukul 9.30 malam itu, lima buah rumah musnah 100 peratus manakala tiga lagi terbakar 10 peratus.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Farid Ismail berkata, turut terbakar sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diletakkan di bawah garaj berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.55 malam sebelum 34 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Operasi memadam kebakaran agak sukar kerana struktur rumah sangat padat dan jaraknya kira-kira satu meter antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke lima lagi rumah yang berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.
Mohd. Farid berkata, kebanyakan penghuni tidak berada di rumah ketika kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, penduduk yang berada di dalam rumah ketika kejadian sempat keluar menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu. – UTUSAN










