Lapan kes seleweng diesel dikesan di Pulau Pinang sejak Januari

Lapan kes seleweng diesel dikesan di Pulau Pinang sejak Januari

S. JEGAN (dua dari kiri) menyapa seorang pemandu yang sedang mengisi diesel ke dalam tangki lorinya di sebuah stesen minyak di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mengesan dan merekodkan sebanyak lapan kes penyelewengan diesel dengan nilai rampasan berjumlah RM415,877.95 sejak Januari lalu hingga ke hari ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kesemua kes itu iaitu susulan pelaksanaan Op Tiris 4.0 bagaimanapun masih dalam peringkat siasatan dan pendakwaan pada masa ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh yang sama juga, sebanyak 215 premis stesen minyak di negeri ini telah diperiksa sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan dan pemantauan berterusan.

“Selain itu, KPDN turut memantau sebanyak 126 buah stesen minyak secara rapi susulan pelaksanaan dasar baharu melibatkan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada pihak yang tidak layak mulai semalam (1 April),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi Walkabout dan Pemantauan Pelaksanaan Larangan Penjualan serta Pembelian Barang Kawalan (Petrol RON95) di sebuah stesen minyak di Sungai Dua di sini, hari ini.

Sementara itu, Jegan berkata, pihaknya turut menerima empat aduan awam berkaitan penyelewengan penjualan bahan api bersubsidi sejak awal tahun ini yang melibatkan aktiviti pengisian petrol RON95 ke dalam tong serta aktiviti yang dianggap mencurigakan di stesen minyak.

Katanya, siasatan mendapati, tiga daripada aduan tersebut adalah tidak berasas kerana tiada sebarang kesalahan direkodkan manakala baki satu lagi aduan iaitu melibatkan diesel masih dalam pemantauan berkala oleh pihak KPDN Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, pengusaha stesen minyak perlu bertanggungjawab dengan memastikan hanya kenderaan tempatan dibenarkan mengisi RON95 dan sebarang kecuaian atau perbuatan yang mendorong penyelewengan akan dikenakan tindakan tegas tanpa toleransi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 134 Pegawai Pemantau Harga (PPH) turut ditugaskan untuk membantu penguat kuasa KPDN di Pulau Pinang dalam memantau harga serta bekalan barang kawalan termasuk petrol dan diesel bersubsidi.

“Tetapi, jumlah ini pun sebenarnya belum mencukupi kerana jumlah stesen minyak yang ada di Pulau Pinang ketika ini sangat banyak. Jadi, kita (KPDN) memerlukan bantuan pengurusan stesen minyak serta rakyat agar subsidi RM1.99 seliter (untuk petrol RON95) dapat diteruskan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN