Kutipan bantu bawa pulang Halimah cecah RM111,000

Kutipan bantu bawa pulang Halimah cecah RM111,000

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 6 April 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam tempoh dua hari, jumlah kutipan bagi membantu menampung kos membawa pulang seorang warga emas, Halimah Ismail, 64, yang diserang strok semasa dalam perjalanan mengerjakan umrah di Madinah Februari lalu sudah mencecah RM111,000 iaitu melebihi separuh daripada jumlah diperlukan.

Pada 5 April lalu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi melancarkan tabung kutipan bagi menampung kos membawa pulang warga emas itu yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM200,000.

ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, pihaknya mengambil inisiatif melancarkan tabung kutipan derma tersebut selepas Halimah dilaporkan terkandas ekoran mengalami masalah kesihatan.
Katanya, langkah itu sebagai salah satu inisiatif khidmat masyarakat malah orang ramai juga digalakkan membantu dengan menyalurkan sumbangan kepada waris Halimah.

“Saya amat memahami keadaan yang berlaku ini dan disebabkan itulah Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi mengambil inisiatif bagi membantu Halimah yang turut merupakan penduduk dalam kawasan DUN berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, seorang anak kepada warga emas dari Felda Lubuk Sireh, di sini, memohon bantuan bagi membawa pulang ibunya ke Malaysia selepas diserang strok di Madinah pada 5 Februari lepas.

Siti Nur Ain Abd Sanief, 31, dilaporkan berkata, ibu pada mulanya dimasukkan ke Hospital Al Salam, Madinah, selepas mengalami masalah kesihatan serius semasa dalam perjalanan mengerjakan umrah.

Katanya, pemeriksaan ketika itu mendapati ibu dijangkiti beberapa virus termasuk influenza, Covid-19 dan rhinovirus malah keadaannya juga semakin lemah serta terpaksa ditidurkan.
Sementara itu, Izizam berkata, bagi membantu waris Halimah, beliau turut mengambil keputusan membatalkan pelaksanaan Majlis Rumah Terbuka DUN Titi Tinggi yang dijadualkan tidak lama lagi, malah segala kos penganjuran program berkenaan akan disalurkan ke tabung terlibat.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas dia mengadakan perbincangan dengan kakitangan pusat khidmat dalam membantu mengurangkan bebanan ditanggung keluarga Halimah.

“Saya amat terkesan dengan situasi yang berlaku ini dan membayangkan seperti ibu sendiri. Jadi disebabkan itu kita buat keputusan batalkan rumah terbuka dan semua peruntukan program itu akan disalurkan kepada waris Halimah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN