Kuota 200 liter petrol tidak cukup buat guru

Kuota 200 liter petrol tidak cukup buat guru

MOHD SOBRI YUSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa kerajaan mengembalikan kuota petrol Program Budi Madani RON95 (BUDI95) 300 liter kepada warga pendidik kerana jumlah 200 liter tidak mencukupi buat golongan tersebut.

Presidennya, Mohd. Sobri Yusuf berkata, realiti tugas guru masa kini memerlukan pergerakan tinggi yang jauh berbeza daripada era Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (BDR) sebelum ini.

Malah beliau berkata, terdapat sebilangan warga pendidik menggunakan bahan api tersebut melebihi 500 liter sebulan khususnya bagi urusan kokurikulum, akademik dan kehidupan berjauhan dengan keluarga (PJJ).

“Selain hadir ke sekolah pada setiap hari, guru terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk melatih dan mengiringi murid ke pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Ramai yang tidak melihat hakikat bahawa guru menggunakan kenderaan sendiri hampir setiap hari, bukan sahaja untuk ke sekolah. Malah untuk urusan rasmi seperti mesyuarat, kursus dan program di peringkat pejabat pendidikan daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kementerian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Mohd. Sobri, terdapat guru yang memikul tanggungjawab tambahan sebagai jurulatih sukan, jurulatih utama dan fasilitator program pendidikan yang memerlukan pergerakan berterusan.

Katanya, di samping itu, ada sebilangan guru terpaksa menjalani kehidupan PJJ dan berulang-alik ke kampung halaman demi menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan pasangan juga menanggung kos perbelanjaan petrol yang tinggi.

“Tidak kurang guru yang ditempatkan jauh dari kediaman asal sehingga perlu menempuh perjalanan harian yang panjang. Ini semua meningkatkan penggunaan bahan api dan memberi tekanan kepada kos sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, pegawai pendidikan di peringkat JPN dan PPD turut berdepan situasi sama apabila perlu melakukan pemantauan dan bimbingan ke sekolah-sekolah secara kerap kemungkinan melibatkan penggunaan bahan itu melebihi 300 liter sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN