PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melaksanakan pelarasan semula jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan Pulau Sebang–Batu Caves–Pulau Sebang.
Menurut kenyataan KTMB, pelarasan tersebut dilaksanakan susulan penilaian semula terhadap jadual baharu yang diperkenalkan pada 18 April lalu berikutan pelaksanaan Projek Naik Taraf Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).
“Pihak KTMB telah meneliti pelbagai maklum balas serta cadangan daripada penumpang yang diterima menerusi saluran rasmi, termasuk media sosial.
“Jadual yang dikemaskini itu dirangka dengan mengambil kira pola perjalanan pengguna terutama pada waktu puncak supaya lebih praktikal serta memudahkan perancangan perjalanan harian,” menurut kenyataan itu.
KTMB menyatakan sepanjang tempoh itu, operasi tren di laluan terbabit menggunakan satu landasan yang dikongsi antara perkhidmatan Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
“Penutupan penuh landasan pada waktu malam dari pukul 9.30 malam hingga 5.30 pagi bagi kerja naik taraf turut menyebabkan beberapa pergerakan tren ETS dijadualkan semula terutama pada waktu petang,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, KTMB memaklumkan penambahbaikan kali ini hanya melibatkan pelarasan waktu operasi tanpa menjejaskan lima perkhidmatan sedia ada pada waktu puncak pagi dan petang bagi hari bekerja.
Penumpang disarankan supaya membuat perancangan perjalanan lebih awal dengan menyemak jadual terkini melalui MyRailtime di aplikasi KITS Style, serta peka terhadap pengumuman di stesen atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200. – UTUSAN









