KPM arah hentikan aktiviti air di semua IPG - Utusan Malaysia

KPM arah hentikan aktiviti air di semua IPG

WONG Kah Woh pada majlis penyerahan bas kepada SMK Raja Permaisuri Bainun di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara menghentikan sebarang aktiviti air dan lasak susulan insiden dua pelajar institusi itu yang lemas ketika menyertai aktiviti berkayak di Kedah, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

Katanya, arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta sehingga satu pengumuman lanjut dibuat oleh kementerian.

“Langkah ini diambil sebagai tindakan segera bagi memastikan ibu bapa kepada anak-anak kita di IPG berasa tenang dan mendapat tindak balas pantas daripada kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Datin Khalilah Za’aba.

Pada majlis itu, sebuah bas baharu berkapasiti 40 tempat duduk diserahkan kepada SMK Raja Permaisuri Bainun, sebagai sebahagian daripada usaha kementerian memenuhi keperluan semasa sekolah, yang sebelum ini menggunakan bas lama berusia lebih tiga dekad.

Dalam majlis sama, Kah Woh turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan surau sekolah berkenaan seperti yang dipohon pihak pentadbiran.

Mengulas lanjut beliau berkata, KPM memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis yang sedang dijalankan manakala siasatan dalaman kementerian telah dimulakan sejak semalam.

“Untuk siasatan polis, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, manakala siasatan dalaman akan meneliti kes ini dari semua sudut dan isu yang berbangkit.

“Saya sendiri telah turun ke IPG Kangar (Kampus Perlis) malam tadi untuk bersama pelajar yang terlibat dan mendengar serta mendapatkan penjelasan daripada mereka berkaitan insiden tersebut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, Sabtu lalu, seorang pelajar lelaki dan perempuan berusia lingkungan 20-an dilaporkan hilang selepas kayak yang dinaiki mereka dipukul ombak di kawasan Pantai Merdeka, Sungai Petani.

Mayat Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, masing-masing dari Sarawak itu ditemui pada pukul 7.30 malam.

Difahamkan mangsa antara 33 pelajar lain sedang melakukan aktiviti kayak yang dianjurkan institut berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN