Konsert Legenda Nada Murni masih diteruskan, usaha dapatkan penganjur baharu - Utusan Malaysia

Konsert Legenda Nada Murni masih diteruskan, usaha dapatkan penganjur baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Rabbani, Azadan menegaskan konsert Legenda Nada Murni, yang sepatutnya dilaksanakan Disember tahun lalu, tidak dibatalkan.

Menurutnya, konsert berkenaan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada syarikat produksi, Karri Talk mendapatkan penganjur baharu bagi menggantikan penganjur asal yang menarik diri ekoran isu dalaman syarikat mereka.

“Syarikat produksi, Karri Talk tetap mahu meneruskan konsert itu cuma buat masa ini mereka masih berusaha mendapatkan penganjur lain.

“Jadi, setakat ini, konsert tidak batal, malah saya difahamkan muncul beberapa penganjur yang berminat. Tapi sehingga kini belum ada ketetapan,” katanya yang ditemui ketika rumah terbuka Munsyid Malaysia, semalam.

Azadan memaklumkan, penaja menanggung kerugian ratusan ribu gara-gara penangguhan konsert berkenaan selain terpaksa reda apabila peruntukan yang dilaburkan untuk deposit sewa dewan, ‘hangus’ begitu sahaja.

“Setahu saya syarikat produksi Karri Talk telah kerugian kira-kira RM200,000 yang dibelanjakan untuk bayaran deposit artis, deposit sewa lokasi, penganjuran sidang media, promosi dan sebagainya,” kongsinya.

Azadan dalam masa sama meluahkan rasa kecewa bukan sahaja kerana penganjur asal menarik diri, malah gagal menyelesaikan urusan permohonan permit beberapa minggu sebelum konsert tersebut dijadualkan berlangsung.

“Ketika itu, kami nak teruskan saat akhir pun tak boleh kerana permit tidak disediakan penganjur asal, sedangkan cuma berbaki beberapa minggu sahaja sebelum konsert dipentaskan.

“Sebenarnya selepas penganjur asal tarik diri, muncul penganjur lain yang berminat untuk meneruskan konsert berkenaan, tapi mereka membatalkan hasrat disebabkan ketiadaan permit,” jelasnya.

Pemilik nama penuh Azadan Abdul Aziz juga mengakui kecewa dengan penganjur asal yang bersikap acuh tak acuh dan kurang proaktif dalam melaksanakan gerak kerja mereka.

“Penganjur asal itu bukan calang-calang reputasinya. Kalau sebut nama, orang industri tentu kenal. Bahkan dia tidak asing dalam kalangan artis popular, pernah bekerjasama dengan nama besar.

“Tapi agak mengejutkan apabila gerak kerja dan rangka promosi mereka tak betul. Saya pula yang terpaksa desak mereka gerakkan kerja dari semasa ke semasa dan ambil alih beberapa peranan mereka.

“Memang kami kecewa apabila jadi begini. Yang terjejas adalah nama Nada Murni, kumpulan yang dianggap ‘otai’ dalam kalangan penggiat muzik nasyid tanah air. Peminat menantikan konsert itu.

“Tapi saya tidak tergamak hebahkan siapa penganjur ini. Malah saya pernah nasihatkan dia agar muhasabah diri. Saya faham kita tidak lari daripada melakukan kesilapan,” kongsinya.

Azadan yang juga bekas anggota kumpulan nasyid bertaraf legenda Nada Murni turut menyarankan
artis lain agar teliti dalam memilih penganjur apabila berhasrat untuk menganjurkan konsert.

“Dan kepada penganjur, janganlah fikir keuntungan semata-mata kerana artis yang menanggung kesan apabila program tak jadi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN