Komen ‘buaya’ cuma gurauan dengan Jefri Nichol, kita nakal - Ikmal Amry - Utusan Malaysia

Komen ‘buaya’ cuma gurauan dengan Jefri Nichol, kita nakal – Ikmal Amry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ikmal Amry, menjelaskan komen tularnya di aplikasi Threads bersama selebriti Indonesia, Jefri Nichol, yang menyebut dirinya pernah menjadi ‘buaya’ atau kaki perempuan hanyalah sekadar gurauan.

Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 32, berkata, kenyataan itu dibuat semata-mata untuk menjaga hati rakannya agar tidak terus menjadi sasaran kecaman netizen.

“Saya sebenarnya nak melayan dia sahaja supaya dia tidak merasakan ‘buaya’ itu satu perkara yang terlalu buruk. Hakikatnya, kita semua ada sisi nakal, cuma Allah menutup aib kita.

“Dia (Jefri) pula jenis yang terbuka berkongsi, sebab itu orang tahu. Apa yang saya katakan itu sekadar gurauan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tarung, di sini, semalam.

Menurut Ikmal, interaksinya di Threads juga bertujuan meredakan ketegangan susulan tindakan segelintir netizen yang gemar membuat perbandingan antara dirinya dan Jefri sehingga menimbulkan komen berbaur penghinaan.

Katanya, perbandingan keterlaluan itu dibimbangi boleh menjejaskan hubungan baik antara peminat seni Malaysia dan Indonesia.

“Apabila terlalu banyak mesej peribadi dan tanda nama diterima, saya jadi tidak selesa membaca komen yang menghina dia. Saya rasa perkara ini perlu dihentikan.

“Saya bimbang apa yang diperkatakan peminat kita akan mengguris hati pihak di sana dan akhirnya memberi imej buruk kepada kita juga.

“Sebab itu saya keluarkan kenyataan tersebut supaya orang berhenti membandingkan. Kalau mahu membandingkan, biarlah pada perkara baik. Namun, nampaknya ia tidak berhasil, malah semakin ramai yang terus membuat perbandingan,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal mendedahkan dia kini sudah berhubung secara peribadi dengan Jefri melalui mesej langsung (DM) dan menyifatkan pelakon itu sebagai seorang yang santai.

“Kami ada berbalas DM. Dia panggil saya ‘abang’ dan sebenarnya dia terhibur membaca reaksi netizen kita kerana sudah biasa menerima kecaman.

“Kami hanya berkongsi pandangan sebagai lelaki. Saya ‘back up’ dia di media dan dia juga mengucapkan terima kasih. Hubungan kami baik-baik sahaja,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Ikmal tidak menolak kemungkinan untuk bergandingan dengan Jefri dalam mana-mana naskhah sekiranya diberi peluang.

“Itu antara doa saya. Saya mahu mengembangkan kerjaya ke peringkat lebih luas, termasuk ke Indonesia atau mana-mana sahaja. Jika ini jalannya, saya anggap ia satu peluang terbaik untuk dimanfaatkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN