KKM pertimbang naikkan upah, elaun jururawat

KKM pertimbang naikkan upah, elaun jururawat

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbang untuk menaikkan upah atau elaun jururawat sebagai antara langkah bagi menangani isu ‘perang gaji’ yang dilihat semakin memberi kesan kepada pengekalan tenaga kerja, khususnya bagi mengelakkan penghijrahan ke luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara langkah yang sedang dipertimbang termasuk menambah pengambilan jururawat serta meneliti semula beberapa syarat kemasukan yang sebelum ini telah dilonggarkan bagi memperluas akses latihan.

Menurut beliau, KKM turut mempertimbang penambahbaikan dari segi imbuhan termasuk elaun kerja syif serta elaun post-basic sebagai usaha menjadikan kerjaya jururawat lebih kompetitif berbanding tawaran di luar negara.

“Kita tahu bagaimana negara jiran, mereka menawarkan remunerasi yang lebih tinggi, kita sangat peka tentang perkara ini.

“Kita pun telah mula mengambil tindakan, tetapi kita tahu bahawa tidak ada jalan pintas dalam perkara ini. Paling tidak tiga tahun untuk satu-satu kohort untuk graduan diploma atau ijazah untuk tamat pengajian mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Berdasarkan kajian terkini MBSB Research, pasaran tempatan mencatatkan kadar kekosongan jawatan jururawat di paras kritikal sekitar 15 peratus hingga 18 peratus pada tahun 2026.

Fenomena kekurangan tenaga kerja ini memaksa penyedia kesihatan swasta terjerumus dalam persaingan agresif atau ‘perang gaji’ semata-mata demi mengekalkan jururawat sedia ada daripada berhijrah ke luar negara seperti Singapura mahupun Asia Barat.

Syarikat hospital swasta terpaksa menaikkan gaji bulanan secara ketara serta memperkenalkan bonus kesetiaan untuk menghalang penghijrahan kakitangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN