PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik selepas dikesan mengandungi racun berjadual, sekali gus tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.
KKM dalam kenyataan memaklumkan produk terbabit, ialah Glowing Night Treatment yang mengandungi hydrokuinon dan betamethasone17-valerate serta Glowing Herbal Treatment yang mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate.
“Sehubungan itu, notifikasi bagi kedua-dua kosmetik berkenaan telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. Penjual dan pengedar kosmetik ini perlu menghentikan penjualan produk berkenaan serta-merta,” katanya.
Tegasnya, sebarang penjualan dan pengedaran kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan,” ujarnya.
Merkuri dilarang dalam kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan sehingga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,
Betamethasone 17-valerate pula menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kemudaratan.
Hidrokuinon pula boleh menyebabkan bahan kulit yang disapu mengalami kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif.
Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Sementara itu, tretinoin menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.- UTUSAN










