‘Kita dalam kapal sama, buat sidang khas Parlimen hadapi ketidakstabilan ekonomi global’

‘Kita dalam kapal sama, buat sidang khas Parlimen hadapi ketidakstabilan ekonomi global’

ABDUL Hadi Awang menyampaikan Kuliah Duha Khas pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Langkah penting perlu dilakukan ketika ini adalah mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan tindakan proaktif menangani ketidakstabilan ekonomi global yang semakin memberi tekanan kepada rakyat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sidang khas berkenaan bagi membolehkan semua pihak termasuk wakil rakyat pembangkang menyumbang idea dan pandangan demi kepentingan negara.

“Cadangan kita adalah diadakan sidang khas Parlimen supaya semua pihak dapat berbincang dan memberi pandangan. Sepatutnya Perdana Menteri mengambil langkah sedemikian kerana kita berada dalam satu kapal yang sama.

“Bukan kerajaan sahaja yang merasai kesan ekonomi, sebaliknya seluruh rakyat turut terkesan. Sebab itu semua pihak perlu dilibatkan,” katanya selepas menyampaikan Kuliah Duha Khas sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, di sini hari ini.

Menurut Abdul hadi, perbezaan politik perlu diketepikan dalam mendepani isu ekonomi kerana beban tersebut tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Mengulas dakwaan pihak tertentu yang melabelkan pembangkang sebagai tidak kompeten, beliau berkata, kegagalan sebenar terletak pada kerajaan yang didakwa masih gagal menangani isu kritikal termasuk pengangguran.

“Kerajaan dilihat masih gagal menyelesaikan isu pengangguran sepenuhnya. Malah, konsep federalisme juga tidak dihormati apabila negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dipinggirkan,” katanya.

Mengenai krisis tenaga global, beliau berkata, ia berkait rapat dengan konflik peperangan namun Malaysia mempunyai sumber sendiri serta peluang kerjasama serantau yang luas.

“Isu tenaga ketika ini berpunca daripada perang, sedangkan negara seperti Iran tidak menyekat kita. Malaysia juga mempunyai sumber minyak sendiri dan boleh bekerjasama dengan Indonesia yang merupakan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC),” katanya.

Mengulas konflik di Asia Barat melibatkan Iran, beliau mendakwa, tindakan pihak tertentu yang memulakan serangan menjadi punca ketegangan berpanjangan.

“Saya melihat kepada pihak yang memulakan serangan. Amerika Syarikat dan Israel bertindak menyerang Iran. Sikap angkuh ini menyebabkan konflik berlarutan dan tidak menunjukkan tanda berakhir dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN