JOHOR BAHRU: Kriteria pengambilan sukarelawan Southern Volunteers (SV) akan diperketatkan ekoran penahanan bekas seorang sukarelawan kerana meminta wang deposit wad daripada orang awam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, individu terbabit telah ditamatkan perkhidmatan sejak bulan lalu kerana tidak aktif.
Beliau berkata, individu tersebut dipercayai masih menggunakan nama SV turut dilaporkan menyamar sebagai kakitangan HSA bagi memperdaya orang awam di hospital berkenaan.
“Sukarelawan SV diletakkan di HSA bagi membantu kelancaran di ruang legar hospital berkenaan susulan kesesakan termasuk menolak kerusi roda pesakit.
“Justeru, saya tidak akan sesekali berkompromi dengan Individu merosakkan nama SV ini, ia adalah lambang dan imej negeri Johor,” katanya kepada pemberita di majlis Raya Sekampung Bangsa Johor Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di Arena Larkin, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hairi, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas individu berkenaan.
Tambahnya, kerajaan negeri telah melaksanakan pemutihan sejak Januari lalu dengan menamatkan perkhidmatan sukarelawan yang tidak aktif.
“Selepas proses pemutihan dilakukan, seramai 34,000 sukarelawan sahaja yang dikekalkan, selebihnya telah ditamatkan perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kawalan keselamatan akan diperketatkan termasuk menyemak kad pengenalan diri kakitangan, terutamanya di laluan utama pintu masuk bangunan hospital.
Menurut JKNJ lagi, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada dan hanya membuat bayaran di kaunter hasil serta memastikan resit sah diterima bagi setiap transaksi.
JKNJ turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang insiden yang mencurigakan kepada pihak keselamatan hospital.
Terdahulu, tular di Threads seorang wanita membuat hantaran mempersoalkan sekiranya hospital berkenaan mengenakan bayaran deposit bagi pendaftaran wad.
Wanita itu mendakwa, ibunya perlu membayar sebanyak RM30 kepada individu terbabit, iaitu seorang wanita, ketika ingin membuat pendaftaran masuk wad ayahnya tanpa diberi resit bayaran. – UTUSAN











