Subsidi petrol, diesel cecah RM6 bilion sebulan - Utusan Malaysia

Subsidi petrol, diesel cecah RM6 bilion sebulan

ANWAR Ibrahim ketika melawat SMK Clifford di Kuala Kangsar, Perak hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Negara kini menanggung subsidi petrol dan diesel berjumlah RM6 bilion sebulan susulan peningkatan harga bahan api ekoran perang Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos itu adalah untuk menjayakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) serta pemberian subsidi diesel kepada para petani, nelayan dan pengangkutan awam.

Beliau membidas pihak-pihak yang cuba menafikan usaha kerajaan dalam mengatasi kesan langsung ekonomi berhubung peningkatan harga minyak.

“Berapa jumlah subsidi satu bulan? Satu bulan RM6 bilion. Bayangkan kalau 10 bulan, RM60 bilion.

“Nak cukai orang susah, orang marah. Jadi inilah masa untuk kita bincang cara baik. Parti kerajaan, parti pembangkang, jangan bebal tak tentu arah. Nak jadi pemimpin masyarakat, nak utarakan komen harus berdasarkan ilmu,” katanya ketika berucap pada lawatan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini, hari ini.

Dunia termasuk Malaysia dilanda kegawatan bahan api susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran sehingga mengganggu Selat Hormuz yang menjadi laluan utama eksport komoditi minyak.

Anwar berkata, Malaysia masih mampu mengekalkan harga petrol serendah RM1.99 seliter sedangkan paras harga di tempat lain termasuk negara jiran naik melambung.

“Di Singapura RM10, itu ada minyak. Ada negara sudah melaksanakan catuan. Di sebuah negara ASEAN, 400 stesen minyak ditutup. Renungkan perkara ini, kerana kita tidak terkecuali daripada permasalahan ini.

“Sebab itu saya bagi arahan termasuk batalkan semua lawatan menteri-menteri ke luar negara kerana kos pengangkutan sudah tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN