Kerajaan perhalusi langkah bantu pengusaha stesen minyak terbeban

Kerajaan perhalusi langkah bantu pengusaha stesen minyak terbeban

ARMIZAN Mohd. Ali (dua kanan) semasa menghadiri Taklimat Penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada pemborong barang kawalan dan pengusaha stesen minyak di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan sedang memperhalusi langkah membantu pengusaha stesen minyak yang kini berdepan tekanan aliran tunai akibat keperluan modal tinggi untuk pembelian stok awal tanpa subsidi.

Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan memahami cabaran itu dan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi membolehkan pembayaran balik modal kepada pengusaha stesen minyak dipercepat.

Katanya, meskipun urusan tersebut adalah transaksi komersial antara pengusaha stesen minyak dan syarikat minyak (OilCo), kerajaan tidak memandang ringan isu berkenaan.

“Kerajaan telah mengaktifkan mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau perkembangan isu ini secara dekat,” katanya selepas menghadiri Taklimat Penguatkuasaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada pemborong barang kawalan dan pengusaha stesen minyak di sini, hari ini.

Arminzan berkata, langkah itu bertujuan memastikan aliran tunai milik pengusaha stesen minyak terbela.

Media semalam melaporkan, pengusaha stesen minyak ketika ini mendakwa terpaksa menjadi seperti ‘pembiaya tidak rasmi’ kepada agihan subsidi bersasar diesel akibat mekanisme pembayaran modal tunai yang terpaksa mereka tanggung untuk membeli bekalan bahan bakar itu.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon dilaporkan berkata, situasi itu tidak adil kepada mereka yang mana realitinya pengusaha secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.

Kata beliau, pihaknya menerima aduan dan keluhan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA) mengenai kesan kenaikan harga minyak diesel terhadap bebanan kewangan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN