PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR mempersoal Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berhubung isu penjualan tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Selangor.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng mendakwa, pendekatan seperti menghantar surat tidak rasmi dan mengadakan sidang media tidak mewujudkan sebarang kewajipan undang-undang kepada mana-mana pihak untuk memberikan maklum balas.
Katanya, Selangor mempunyai Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) berkuat kuasa sejak 2013, yang memberikan hak kepada mana-mana individu untuk memohon maklumat daripada kerajaan negeri dan permohonan itu perlu dijawab dalam tempoh 30 hari.
“Yang Berhormat Wong Chen tidak kurang lantangnya. Tiga surat tidak rasmi telah dihantar. Satu lawatan tapak dilakukan. Satu sidang media diadakan. Pelbagai kenyataan dikeluarkan menuntut ketelusan. Namun satu perkara yang secara mencolok tidak dilakukan oleh beliau ialah mengemukakan permohonan di bawah FOI, satu-satunya langkah yang mempunyai kuasa undang-undang yang nyata.
“Ini bukan suatu kealpaan. Yang Berhormat Wong Chen ialah Ahli Parlimen tiga penggal berturut-turut. Beliau adalah seorang peguam terlatih dengan pengalaman lebih dua dekad dalam amalan undang-undang korporat. Beliau antara Ahli Parlimen yang paling fasih dari segi undang-undang dan institusi di Parlimen Malaysia. Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2011 telah berkuat kuasa sejak 2013,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Wong mengkritik kerajaan Selangor kerana gagal memberikan maklum balas terhadap beberapa pucuk surat berhubung penjualan kira-kira 68.4 hektar tanah berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam.
Katanya, beliau telah menghantar tiga surat rasmi sejak Disember lepas bagi menuntut penjelasan mengenai penjualan tanah yang dikhususkan untuk pembangunan itu, namun masih belum menerima sebarang jawapan rasmi.
Mengulas lanjut, Bryan berkata, di bawah Enakmen FOI ini, pemohon tidak diwajibkan menyatakan sebarang sebab bagi permintaan mereka.
“Sekiranya YB Wong Chen mendapati penjelasan itu tidak mencukupi, mekanisme FOI adalah jalan yang betul untuk menuntut maklumat yang lebih terperinci, bukan sidang media yang ke-empat,” katanya.
Pada Disember lalu, Exco Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin dilaporkan berkata, tanah berkenaan telah dinyahwartakan sebagai hutan simpan sejak 1926.
Katanya, Majlis Bandaraya Subang Jaya juga tidak menerima sebarang permohonan untuk membangunkan kawasan tersebut setakat ini.-UTUSAN










