Kembalikan status bebas cukai Langkawi - Sultan Kedah

Kembalikan status bebas cukai Langkawi sepenuhnya

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat ke Istiadat Perasmian Persidangan DUN Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN ke-15 di Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Status pulau bebas cukai terhadap Pulau Langkawi yang merupakan permata negeri Kedah perlu dikembali­kan seperti yang dinikmati orang ramai sebelum ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, meskipun Langkawi masih dikekalkan sebagai pulau bebas cukai tetapi terdapat beberapa keistimewaan yang telah dikurangkan.

“Beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan termasuklah pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau, serta lain-lain barangan.

“Sehubungan itu, beta menyeru Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati seperti sebelum ini,” titah baginda pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15, semalam.

Bermula 1 Januari 2026, kerajaan mengehadkan pengecua­lian cukai kenderaan di Langkawi hanya untuk kenderaan bernilai RM300,000 ke bawah yang bertujuan menyekat pe­nyalahgunaan kemudahan be­bas cukai oleh pihak yang membeli kereta mewah dengan kenderaan melebihi nilai itu tidak lagi menikmati status bebas cukai sepenuhnya.

Sultan Sallehuddin turut menitahkan agar pihak berwajib dapat menambahbaik sistem pengangkutan feri ke Pulau Langkawi yang turut terhad ketika ini ekoran isu kenaikan harga diesel industri.

Antara inisiatif dicadangkan baginda kepada Kerajaan Persekutuan adalah menyemak semula kadar subsidi diesel yang diberikan kepada pengusaha feri di pulau peranginan itu.

“Kesan daripada isu berbangkit itu telah membawa kepada kemerosotan kemasukan pelancong yang akan menjejaskan pendapatan pengusaha dan peniaga di Pulau Langkawi serta menjejaskan perhubu­ngan penduduk di Pulau Langkawi,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan pemberian insentif kewangan kepada Kedah sebagai menghargai pengorbanan besar negeri itu memelihara ratusan ribu hektar kawasan untuk tadahan air dan tanaman padi.

“Pengorbanan negeri beta mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air wajar disusuli insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan, seperti dipohon Kerajaan Ne­geri Kedah,” titah baginda.

Sultan Kedah turut mahu pihak berkuasa bertindak tegas dan proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang dalam isu rumah ibadat bagi semua agama yang dibina secara tidak sah.

Baginda menyeru rakyat Kedah berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah disebabkan konflik dan peperangan melanda Asia Barat dan Eropah Timur yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara dan negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN