PETALING JAYA: Siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga Bangladesh yang terlibat dalam kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu mabuk di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) akan dijalankan di bawah kesalahan bunuh.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang
Wangi hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, perintah reman dibacakan di hadapan Majistret Puan Guftan Nor Asyikin Murlikamal di bilik reman IPD Dang Wangi pukul 10.45 pagi.
“Mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari bermula 24 April hingga 28 April,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Katanya, jika sabit kesalahan, pertuduhan bunuh membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.
Semalam, seorang anggota tentera berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di lebuh raya tersebut.
Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut, manakala empat individu lain termasuk pemandu cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan itu.
Keputusan ujian pernafasan (breathalyser) terhadap pemandu Ford Fiesta berkenaan mendapati bacaan alkohol melebihi had yang dibenarkan.
Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian. – UTUSAN










