LOS ANGELES: Penyanyi, Katy Perry menepis tuduhan yang kononnya dia sebelum ini pernah melakukan serangan seksual terhadap pelakon, Ruby Rose.
Penafian tersebut dibuat Perry menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada portal Pagesix.
“Tuduhan Ruby Rose mengenai Katy Perry yang berlegar di media sosial bukan sahaja palsu, malah satu pembohongan yang sangat berbahaya.
“Rose terkenal dengan tindakannya yang membuat pelbagai dakwaan membabitkan orang lain dan ia berulang dinafikan ramai pihak,” tegas Perry.
Rose, 40, menerusi beberapa perkongsian dalam Threads mendakwa menerima serangan tersebut di sebuah kelab malam di Melbourne, Australia ketika berusia 20 tahun.
“Katy Perry melakukan serangan seksual terhadap saya dalam kelab malam yang terletak di sebuah pasar di Melbourne,” dakwanya.
Komen tersebut ditulis pelakon berkenaan sebagai respons terhadap hantaran mengenai Perry dalam platform yang sama.










