Jumpa, simpan pistol, buruh didenda RM4,500

Jumpa, simpan pistol, buruh didenda RM4,500

MOHD. HASNI Muhamad (kiri) didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki dan mencuri pistol milik sebuah syarikat keselamatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang buruh didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyimpan sepucuk pistol bersama peluru hidup yang dijumpainya dalam tandas sebuah stesen minyak di sini, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohd. Hasni Muhamad, 36, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret, Arun Noval Dass selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis CZP-07 bersama 10 butir peluru hidup tanpa lesen sah di sebuah rumah di Taman Pasifik Selatan pada pukul 7.55 malam, 12 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri senjata milik sebuah syarikat keselamatan selepas menemuinya dalam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Kluang pada pukul 4.15 petang, hari sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menemukan pistol bersama peluru hidup itu yang ditinggalkan individu tidak dikenali ketika berada di tandas stesen minyak dan bertindak membawanya pulang ke rumah.

Tertuduh juga enggan memulangkan senjata api tersebut walaupun telah dinasihati isterinya. Tindakan tertuduh terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mengesan kelibat tertuduh sebelum polis menahannya di sebuah rumah.

Hasil siasatan lanjut dan dipandu arah tertuduh, polis menemukan semula pistol tersebut yang disimpan di dalam sebuah kotak di stor belakang rumahnya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Kamarulariffin Nordin. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN