PETALING JAYA: Akibat terpedaya dengan tawaran perkhidmatan seks dalam talian, seorang jurutera kerugian sebanyak RM27,580 selepas menjadi mangsa penipuan.
Lelaki berusia 28 tahun itu telah melayari aplikasi TikTok ketika berada di kediamannya di Bangsar pada 17 April lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa kemudian telah menekan satu pautan yang disambungkan ke WhatsApp sebelum ditawarkan pakej seks.
“Mangsa kemudian telah membuat 22 transaksi ke enam akaun berbeza
“Selepas membuat semua bayaran berjumlah RM27,580, mangsa dikehendaki membuat bayaran tambahan namun berasa curiga sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati setiap pembatalan tempahan akan dikenakan caj dan sekiranya mangsa enggan mengikut arahan, mangsa akan ditularkan di media sosial.
Tambahnya, polis telah menerima beberapa kes melibatkan modus operandi sama akhir-akhir ini.
“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










