Jemaah haji harap konflik tidak jejas kelancaran operasi

Jemaah haji harap kelancaran operasi terjamin walaupun konflik Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bakal jemaah haji berharap setiap persiapan dilakukan kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) mampu menjamin kelancaran operasi haji tahun ini.

Bakal jemaah haji, Salina Samian, 52, berkata, walaupun terdapat kebimbangan berkaitan situasi yang sedang berlaku, dia yakin pihak TH sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Katanya, segala persiapan dari segi rohani dan fizikal te­lah dilakukan lebih awal mala­h sokongan daripada keluarga turut memainkan peranan dalam memberi keyakinan sebelum berangkat menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Memang risau bila melihat keadaan konflik, namun saya percaya kerajaan dan TH membuat persiapan rapi untuk keselamatan bakal jemaah haji nanti.

“Keluarga pada mulanya agak bimbang tetapi apabila TH mula memberikan jaminan dan pe­nerangan jelas mengenai keadaan di sana, ia memberi kelegaan kerana keselamatan kami sentiasa dipantau.

“Saya berharap urusan dipermudahkan sepanjang menunaikan haji,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifili Hasan dilaporkan memberi jaminan situasi perang Asia Barat tidak menjejaskan kelancaran operasi haji dengan pelbagai langkan kesiapsiagaan diambil bagi memastikan perjalanan ibadah jemaah berjalan dengan selamat dan teratur.

Sementara itu, Noraida Zakaria, 49, berkata, TH giat membuat persiapan rapi dan taklimat berterusan kepada bakal jemaah sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Katanya, dia percaya aspek keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan, selain hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Arab Saudi membantu memastikan urusan haji berjalan lancar.

“Saya yakin hubungan baik kedua-dua negara dapat membantu memastikan urusan jemaah haji berjalan lancar.

“Saya hanya fokus kepada persiapan diri dan ibadah sebagai persiapan mengerjakan haji,” katanya.

Syed Mohd Mustaqim berkata, beliau sentiasa memantau media sosial TH untuk mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan dan prosedur haji.

Walaupun TH sudah membuat persiapan rapi, beliau tetap berhati-hati dan mencari info tambahan sebagai langkah berjaga-jaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN