PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempersoal kenaikan harga diesel, mengelirukan dan mengulangi pola lama ketika berdepan isu ekonomi yang kompleks.
Naib Ketua AMK, Nadia Nazri berkata, jawapan diberikan Abdul Hadi amat simplistik seolah-olah realiti dunia boleh diubah hanya dengan retorik.
Katanya, walaupun Malaysia mempunyai sumber minyak namun realitinya negara tetap mengimport produk petroleum bertapis yang harganya ditentukan oleh pasaran antarabangsa.
“Hari ini, harga minyak mentah Brent telah melepasi paras AS$100 setong. Lebih kritikal, harga diesel bertapis di pasaran global mencecah sekitar AS$200 hingga AS$250 setong.
“Keadaan ini didorong oleh ketegangan geopolitik, khususnya di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia menyebabkan kos insurans kapal meningkat, rantaian bekalan terganggu, dan harga melonjak untuk semua negara.
“Justeru, dakwaan bahawa Malaysia tidak terkesan kerana “tidak disekat Iran” adalah tidak berasas. Pasaran tenaga dunia tidak beroperasi berdasarkan siapa yang disekat atau tidak, tetapi berdasarkan risiko, bekalan dan permintaan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika Pas benar-benar percaya faktor global tidak mempengaruhi harga minyak tempatan, timbul persoalan adakah semua negara lain tersalah kira apabila harga minyak melambung tinggi.
Beliau juga mempersoalkan tindakan Pas cuba menimbulkan persepsi bahawa perbezaan harga diesel antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak adalah tidak adil.
“Hakikatnya, pendekatan ini mengambil kira faktor geografi, kos logistik dan struktur ekonomi tempatan yang berbeza. Dasar ini dilaksanakan selaras dengan realiti wilayah.
“Malah, kerajaan telah mula mengetatkan kawalan pembelian di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan. Namun seperti biasa, apabila sesuatu dasar memerlukan penjelasan yang lebih mendalam, Pas memilih jalan mudah iaitu ringkaskan, politikan, dan bangkitkan kemarahan.
“Ironinya, dalam masa sama, Pas sering berbicara tentang ketirisan dan salah urus, tetapi jarang sekali mengemukakan pelan yang konkrit dan terperinci untuk menanganinya,” katanya.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, tiada sebab untuk kerajaan menaikkan harga minyak di Semenanjung tetapi tidak di Sabah dan Sarawak kerana Malaysia tidak termasuk dalam sekatan Iran di Selat Hormuz dan negara ini merupakan pengeluar minyak di dunia.
Presiden Pas itu berkata, sekatan terhadap Malaysia di Selat Hormuz tidak lagi berlaku sebagai penghargaan Iran kepada rakyat negara ini yang berani tidak berpihak kepada Amerika Syarikat dan Israel.
Pada masa sama, katanya, Malaysia mempunyai telaga minyak dan gas sendiri serta masih banyak sumber lain yang boleh diselesaikan bersama dalam dunia Islam khususnya negara jiran.
Beliau mendakwa, masalah sebenarnya yang berlaku adalah kerana ketirisan dan salah laku dalam pengurusan di negara sehingga mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian.-UTUSAN










