PORT DICKSON: Meskipun membesar dalam keadaan serba kekurangan, ia tidak mematahkan semangat seorang anak asnaf untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Hasilnya, menurut Mohamad Shaqir Izani Mohamad Shahir, 18, dia berjaya meraih keputusan 9A dalam peperiksaan itu yang diumumkan baru-baru ini.
Katanya, dia tinggal bersama bapanya, Mohamad Shahir Alias, 42, yang hanya mampu bergerak menggunakan lutut dan neneknya, Salasiah Ismail, 72, yang menghidap tiga jenis kanser.
“Saya ingin mengubah nasib keluarga dengan menjadi seorang guru agama. Saya selalu dengar ceramah beberapa pendakwah terkenal iaitu, Allahyarham Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Abdul Somad.
“Jadi ia memberi saya inspirasi bagi mempelajari ilmu agama serta menjadi seperti mereka. Saya juga teringin untuk bertemu dengan mereka suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria di Lukut, di sini, hari ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad itu berkata, dia perlu menguruskan bapa dan neneknya termasuk membawa mereka menghadiri janji temu doktor dan urusan hospital sambil dibantu oleh ibunya, Nooraini Mohd. Ramlan, 40.
“Kadang-kadang saya terpaksa memohon cuti daripada guru untuk membawa nenek atau ayah ke hospital. Jika ibu tidak dapat membantu, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke hospital, walaupun mahal,” katanya.
Selain itu, Mohamad Shaqir berkata, bapa dan neneknya turut menerima bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.
Tambahnya, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM) atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sementara itu, bapanya, Mohamad Shahir berkata, anak tunggalnya itu memanfaatkan sepenuhnya telefon bimbit yang diterima melalui bantuan kerajaan serta yang dibelikan oleh ibunya untuk tujuan pembelajaran.
“Dia juga banyak guna telefon itu untuk muat turun aplikasi Al-Quran sebab dia nak mendalami lagi kitab suci itu,” katanya.
Mohamad Shahir berkata, dia sudah berpisah bersama isterinya ketika anaknya berusia enam tahun.
Dalam pada itu, dia turut menitipkan pesanan kepada anak lelakinya itu untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran serta sentiasa merendah diri walau setinggi mana pencapaian yang diraih pada masa hadapan.-UTUSAN











