PUTRAJAYA: Tindakan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung penyelewengan dana Yayasan Akalbudi bertentangan dengan prinsip kepentingan awam.
Tindakan yang dibuat selepas Ahmad Zahid dilantik memegang jawatan tersebut juga boleh dilihat seolah-olah Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai pihak pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan penyiasat, boleh dimanipulasi atau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu.
Menurut peguam Datuk S. Ambiga yang juga bekas Presiden Badan Peguam, tindakan tersebut boleh mencemarkan reputasi dan kredibiliti kedua-dua institusi berkenaan.
Tambahnya, cara dan justifikasi yang digunakan oleh Peguam Negara untuk memohon perintah dilepaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram juga tidak telus, tidak melindungi kepentingan awam dan tidak mengekalkan integriti institusi awam.
“Ia boleh dilihat seolah-olah institusi-institusi ini telah dimanipulasi atau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk agenda mereka sendiri. Adalah penting untuk diingatkan bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi juga mesti dilihat dilaksanakan.
“Dalam konteks ini, apa yang dapat dilihat adalah satu keadaan jelas yang mana pertuduhan digugurkan (selepas kes prima facie dibuktikan) dan setelah responden kedua (Ahmad Zahid) dilantik ke jawatan awam sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Permohonan DNAA atas alasan untuk meneruskan siasatan tanpa sebarang bukti bahawa siasatan tersebut benar-benar diteruskan selepas satu setengah tahun kemudian dan tidak memberikan sebarang kemaskini status siasatan, menunjukkan kekurangan ketelusan dan integriti yang boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan,” kata Ambiga.
Selain itu, Ambiga menyatakan bahawa hujah responden pertama (Peguam Negara) mengenai “ambang tinggi” (higher threshold) untuk menghalang semakan kehakiman dalam keadaan memberhentikan kes terhadap seorang Timbalan Perdana Menteri selepas kes prima facie telah dibuktikan, juga boleh menjejaskan keyakinan masyarakat.
“Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia menyatakan terdapat kes yang boleh dihujahkan bahawa keputusan responden pertama untuk memohon DNAA wajar dilihat sebagai bertentangan dengan kepentingan awam dan oleh itu patut dibatalkan,” kata Ambiga.
Ambiga berhujah demikian pada pendengaran rayuan Badan Peguam terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan cabaran terhadap tindakan Peguam Negara mendapatkan perintah DNAA terhadap Ahmad Zahid.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September 2023, dibatalkan.
Rayuan tersebut didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai Datuk Faizah Jamaludin yang turut bersidang bersama-sama Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Hakim Faizah kemudian menimbulkan persoalan sama ada pelaksanaan kuasa Peguam Negara dalam kes sivil sama dengan kuasa Peguam Negara dalam kes jenayah?
Menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan, atau memberhentikan sebarang prosiding kes jenayah tidak boleh dicabar namun terdapat nas undang-undang terkini yang menyatakan bahawa kuasa Peguam Negara boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan menetapkan 15 April ini untuk mendengar hujahan lanjut daripada pihak-pihak terlibat mengenai isu tersebut.
Terdahulu, pada sesi pagi, panel sama telah menolak bantahan awal Peguam Negara terhadap rayuan oleh Badan Peguam tersebut.
Ketika membaca penghakiman ringkas panel itu, Hakim Faizah menyatakan bahawa kedudukan Peguam Negara untuk memohon Ahmad Zahid untuk DNAA dan seterusnya membuat keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) terhadap kes terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) adalah dua isu yang berasingan.
Beliau berkata, hakikat bahawa perayu memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan NFA oleh Peguam Negara tidak menjadikan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA, sebagai akademik.-UTUSAN










