Polis akui lewat terima maklumat insiden pusat hiburan

Polis akui lewat terima maklumat insiden pusat hiburan

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan lewat menerima maklumat berhubung insiden rusuhan serangan sekurang-kurangnya 60 individu bertopeng di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras, pada Ahad lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari, namun pihak polis hanya menerima laporan pada jam 7.30 malam hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, insiden berkenaan serius kerana melibatkan rusuhan serta perbuatan khianat oleh sekumpulan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Beliau menegaskan, pihak polis tidak menerima sebarang maklumat awal mengenai kejadian tersebut, sama ada daripada orang awam mahupun pihak berkaitan.

“Kes ini adalah serius dan berskala besar, namun laporan hanya dibuat beberapa jam selepas kejadian berlaku. Tiada maklumat awal disalurkan kepada polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan menambah baik aspek penyampaian maklumat serta menjadikannya sebagai fokus utama bagi memastikan tindakan lebih pantas dapat diambil pada masa akan datang.

Fadil turut menyeru orang ramai agar segera menyalurkan maklumat berkaitan sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa bertindak dengan lebih berkesan.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pusat hiburan yang diserang itu memiliki lesen perniagaan sah dan menjalankan aktiviti karaoke.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN