KOTA BHARU: Jarak perjalanan dan kos yang murah menjadi antara punca 34 orang pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand memilih laluan berisiko dengan merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, berdasarkan maklumat keluarga, setiap pelajar perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM4 merentas Sungai Golok untuk ke sekolah dengan menaiki bot penambang.
Katanya, perjalanan pelajar dari Sungai Golok Rantau Panjang melalui
melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang menelan belanja sebanyak RM10.
“Perbezaan kos itu menyebabkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka pergi ke sekolah menggunakan pangkalan haram sekali gus menyebabkan pelajar serta murid sanggup mengambil risiko dengan merentas Sungai Golok untuk ke sekolah.
“Kita bimbang murid-murid yang berusia 10 tahun ke bawah ini dijadikan keldai dadah yang menyeludup dadah dari Thailand ke negara ini. Perkara ini pernah dilaporkan sebelum ini dan kita tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 34 orang pelajar sekolah yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas melakukan aktiviti rentas sempadan dengan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.
Kesemua pelajar dan murid-murid dari sekolah menengah dan dua sekolah rendah termasuk sekolah agama yang masing-masing berusia tujuh hingga 16 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.-UTUSAN.










