Hibah Takaful: Mahkamah syariah tiada bidang kuasa

Hibah Takaful: Mahkamah syariah tiada bidang kuasa

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang pertikaian mengenai hibah takaful yang ditawarkan oleh pengendali takaful tidak boleh dilakukan di mahkamah syariah kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah sivil.

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Taiping, Mohammad Syamil Azizan semalam, berdasarkan peruntukan khusus Jadual Kesembilan Senarai Persekutuan, takaful merupakan insurans berlandaskan syarak, tergolong di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Hakim syarie itu memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal oleh keluarga kepada Allahyarham Intan Hajar Abdul Majid.

Mahkamah turut membatalkan saman dan tuntutan yang dikemukakan oleh keluarga suami wanita berkenaan, Allahyarham Mohd. Azuwan Zainuddin dan memerintahkan keluarga lelaki itu membayar kos sebanyak RM2,000.

Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili keluarga Intan Hajar selaku pemohon mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media. Keluarga Mohd. Azuwan Zainuddin yang dinamakan sebagai responden diwakili peguam syarie, Nurul Hanis Mohd Zaini.

Menurut fakta kes, Intan Hajar telah berkahwin dengan Mohd Azuwan pada 2008 namun tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Intan Hajar dan Mohd Azuwan telah mengambil caruman hibah takaful dengan menamakan pasangan masing-masing (penamaan bersilang) sebagai 100 peratus penerima pampasan yang mana sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap salah satu daripada mereka.

Bagaimanapun, pertikaian mula timbul apabila ketika kejadian, Mohd. Azuwan, 37, dan Intan Hajar,36, terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Februari 2024 dan kedua-duanya maut di tempat kejadian. Pada ketika kejadian, masing-masing meninggal waris qadim terdiri daripada ibu dan adik beradik.

Walaupun keluarga Mohd Azuwan menerima khairat kematian sebanyak RM3,000 namun mereka tidak layak untuk menerima pampasan berjumlah RM1.03 juta sebaliknya pampasan tersebut diserahkan kepada keluarga Intan Hajar.

Ia selepas syarikat pengendali takaful telah merujuk ke Mahkamah Sivil bagi menentukan siapa yang meninggal terlebih dahulu dalam kemalangan tersebut dalam usaha memastikan siapa yang akan mendapat manfaat daripada hibah takaful tersebut dan diputuskan bahawa Mohd Azuwan meninggal dunia terlebih dahulu berdasarkan faktor usia yang lebih tua berbanding Intan Hajar.

Keluarga Mohd. Azuwan yang terdiri daripada ibu, dua aik lelaki dan seorang adik perempuan kemudian memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah ada alasan antaranya pembahagian manfaat hibah mengikut undang-undang Akta Anggapan Kepenakatan 1950 (POSA 1950) adalah tidak terpakai bagi orang Muslim dan bertentangan dengan hukum syarak.

Mereka juga menuntut bahawa berdasarkan prinsip Syariah bagi kes kematian serentak, pemberi dan penerima hibah saling tidak mewarisi manfaat hibah takaful tersebut dan manfaat atau pampasan kematian tersebut perlu dikembalikan kepada waris-waris masing-masing.

Mereka juga memohon agar pembahagian manfaat hibah takaful atau pampasan kematian akibat kemalangan serentak di dalam takaful itu dibahagikan mengikut hukum syarak kerana termasuk di dalam bidang kuasa kuasa-kuasa Mal di bawah Seksyen 17(2) (b) (vi) Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak.

Menurut penghakiman Hakim Mohammad Syamil, tuntutan yang dikemukakan oleh responden adalah berkaitan dengan kesahan produk hibah takaful bagi polisi hibah Mohd Azuwan.

“Mahkamah mendapati hibah takaful dan hibah individu dalam kerangka masyarakat yang bercampur adat dan syarak adalah berbeza. Hibah Takaful berdiri dengan set peraturan serta berkonsepkan kontrak komersial melibatkan pengendali Takaful atau Syarikat dan peserta takaful.

“Kontrak kewangan sebegini berada dalam kawalan selia Persekutuan. Walaupun hibah (pemberian) secara tradisional merupakan urusan undang-undang diri umat Islam (bidang kuasa Negeri), hibah dalam konteks manfaat takaful telah diinstitusikan sebagai instrumen kewangan Islam yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Oleh itu tidak wajar untuk menyamakan hibah takaful dengan hibah klasik semata-mata berdasarkan istilah kerana dari segi hakikat, ia adalah sebahagian daripada kontrak kewangan islam yang kompleks dan bukan suatu hibah mutlak yang berada dalam bidang kuasa mahkamah syariah,”ujar hakim syarie itu.

Sehubungan itu, Mahkamah berpuas hati bahawa hibah takaful adalah sebuah produk yang diwujudkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam menentukan pematuhan syariah sesuatu produk hibah takaful. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN