CIMB catat untung bersih RM1.9 bilion pada suku pertama - Utusan Malaysia

CIMB catat untung bersih RM1.9 bilion pada suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mencatatkan keuntungan bersih RM1.9 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, menyusut kira-kira 3.55 peratus berbanding RM1.97 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.

Keuntungan bersih itu merekodkan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 11.0 peratus dan pendapatan sesaham (EPS) 17.8 sen.

Prestasi itu mencerminkan momentum asas kumpulan yang kekal stabil meskipun berdepan cabaran pertukaran asing (FX) dan geopolitik, disokong pelaksanaan berdisiplin strategi Forward30.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, bank yakin terhadap daya tahan prestasinya serta petanda awal penstabilan margin faedah bersih (NIM), disokong pengurusan kunci kira-kira yang berdisiplin dan aktiviti pelanggan yang mampan merentasi pasaran terasnya.

“Seiring Forward30 terus menunjukkan kemajuan, kami kekal memberi tumpuan kepada disiplin modal, memperkukuh francais pembiayaan serta menjadikan organisasi lebih ringkas, lebih baik dan lebih pantas bagi menjana pulangan mampan jangka panjang.

“Pada masa sama, kami akan terus melabur dalam keupayaan digital dan serantau bagi memperkukuh francais, memperdalam hubungan pelanggan serta merebut peluang pertumbuhan jangka panjang di ASEAN.

“Ketika membina masa depan, kami kekal komited menjadi rakan dipercayai kepada pelanggan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengharungi persekitaran makroekonomi yang mencabar.

“Ini termasuk menerusi program bantuan pembayaran balik serta penyelesaian penstrukturan dan penjadualan semula yang disesuaikan bagi membantu mereka membina daya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Pendapatan operasi kekal stabil suku ke suku pada RM5.4 bilion, disokong peningkatan pendapatan bukan faedah (NOII) sebanyak 11.9 peratus kepada RM1.7 bilion hasil pendapatan dagangan dan FX yang lebih kukuh.

Prestasi itu membantu mengimbangi penurunan 5.0 peratus pendapatan faedah bersih (NII) kepada RM3.7 bilion berikutan penyusutan NIM kumpulan sebanyak dua mata asas sepanjang suku berkenaan, meskipun kesan terhadap NII sebahagiannya disokong pertumbuhan aset.

Dalam pada itu, beliau berkata, CIMB mula melihat impak strategi Forward30 menerusi pelaksanaan jelas merentasi 4C.

“CIMB kekal berdisiplin dalam pengagihan modal seperti yang dicerminkan menerusi program pulangan modal RM2 bilion yang diumumkan pada November 2025 serta penjualan portfolio pembiayaan automotif CIMB Thai baru-baru ini, yang menjadi pencapaian penting dalam program transformasi CIMB Thai.

“Pelupusan itu dijangka memperkemas model operasi CIMB Thai, dengan hasil jualan dan modal yang dilepaskan digunakan untuk membayar semula pembiayaan berkos tinggi di Thailand.

“Ini menyokong pertumbuhan segmen kekayaan dan borong, selain mengembalikan sehingga THB11 bilion modal kepada kumpulan,” ujarnya.

Mengulas prospek, beliau berkata, CIMB kekal berhati-hati optimis walaupun pendedahan langsung bank terhadap Asia Barat adalah terhad.

“Kami terus menilai potensi kesan sekunder terhadap persekitaran makroekonomi dan operasi secara keseluruhan.

“Kami juga terus melihat pertumbuhan aset dan pinjaman yang berdaya tahan, disokong saluran perniagaan yang sihat serta pendapatan francais pelanggan yang stabil di pasaran utama kami.

“Kumpulan turut berada pada kedudukan baik untuk menyampaikan prestasi mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, selaras dengan tujuan kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN