Isu scam: Belum ada berita, usaha pula diperlekeh penganjur otai - Ariff Bahran - Utusan Malaysia

Isu scam: Belum ada berita, usaha pula diperlekeh penganjur otai – Ariff Bahran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ariff Bahran meluahkan rasa terkilan apabila usahanya untuk menceburi industri penganjuran konsert dipertikaikan segelintir pihak, susulan dirinya menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Ariff atau Mohammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 29, mendakwa, terdapat penganjur konsert berpengalaman yang cuba memonopoli industri dengan menetapkan syarat tertentu, termasuk mewajibkan artis popular berurusan melalui mereka sahaja.

“Semua orang bermula dari bawah. Ada masa kita ditipu, jatuh dan bangun semula. Bagi saya, itu perkara biasa apabila pemain besar memperlekehkan kami yang baru bertatih.

“Namun, tidak perlulah merendah-rendahkan orang lain semata-mata untuk menghalang mereka daripada meneruskan perniagaan.

“Janganlah berkata, ‘Oh, Sheila On 7 wajib melalui saya.’ Kenapa pula? Jika saya mampu mendapatkan kumpulan itu, apa salahnya? Jangan perlekehkan,” katanya.

Ariff berkata demikian ketika ditemui pada majlis Seloka Lebaran 2026 yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas mengenai tuntutan sebanyak RM425,000 yang didakwa dilarikan seorang individu yang mengaku sebagai penganjur konsert, penyanyi lagu Juara Dusta itu memaklumkan masih belum menerima sebarang perkembangan positif daripada pihak berkuasa.

“Sehingga hari ini, individu terbabit masih berdiam diri. Dia ada menghantar mesej kononnya akan membuat pindahan wang keesokan hari, namun ditangguhkan berulang kali tanpa sebarang hasil.

“Saya juga sudah mendedahkan wajahnya di platform Threads. Orang ramai sudah mengetahui nama syarikat yang menipu saya. Mereka masih bebas di luar sana. Sama ada mereka mempunyai wang atau tidak, saya hanya mahukan hak saya dikembalikan.

“Saya amat berharap tindakan tegas dapat diambil supaya dia tidak terus berleluasa menipu orang lain,” ujarnya.

Jelas Ariff, wang tersebut amat diperlukan bagi menguruskan komitmen perniagaannya yang lain.

“Jumlah RM425,000 bukan kecil. Saya memerlukan wang itu untuk perniagaan lain. Kami sudah menunggu sejak bulan Ramadan hingga ke Hari Raya, namun masih tiada bayaran atau maklum balas,” katanya.

Dalam pada itu, Ariff mengakui insiden tersebut memberi kesan emosi dan menimbulkan trauma untuk kembali aktif dalam bidang penganjuran konsert, namun enggan mengalah.

“Saya perlu selesaikan kes ini terlebih dahulu. Saya juga sudah belajar daripada kesilapan. Jika saya menganjurkan konsert lagi selepas ini, perancangannya akan dibuat sepuluh kali lebih teliti.

“Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera. RM425,000 itu bukan jumlah kecil, malah boleh dijadikan deposit membeli rumah banglo,” katanya.

Terdahulu, Ariff mendedahkan mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit selepas dipercayai ditipu oleh pihak penganjur yang berjanji membawa masuk Sheila On 7 untuk mengadakan konsert di Malaysia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN