PETALING JAYA: Industri minyak sawit negara terus diperkukuh melalui penumpuan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) strategik yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Langkah strategik itu bagi memastikan daya saing sektor itu kekal kukuh di tengah ketidaktentuan pasaran global minyak sayuran.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ketidakstabilan geopolitik khususnya di Asia Barat telah memberi kesan rantaian kepada pasaran komoditi global, termasuk minyak dan lemak, sekali gus menuntut pendekatan lebih berasaskan sains serta inovasi dalam memperkukuh rantaian nilai sawit.
“Sehubungan itu, PAC berperanan penting dalam menyelaras hala tuju R&D MPOB agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global. Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit, daripada huluan hingga hiliran, dengan penekanan kepada inovasi, aplikasi teknologi serta impak sosio-ekonomi,” katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat PAC MPOB 2026 hari ini.
Mesyuarat itu berlangsung selama empat hari mulai kelmarin turut membincangkan pendekatan R&D strategik MPOB bagi menyelaras inisiatif dan memperkasa daya saing industri sawit negara selari dengan mandat Kerajaan di bawah kerangka Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).
PAC yang dianggotai oleh saintis dan pakar dalam industri sawit dan minyak sayuran dunia memberi penekanan kepada strategi untuk meningkatkan produktiviti dan hasil sawit, termasuk menangani ancaman penyakit seperti Ganoderma serta memperkukuh pembangunan bahan tanaman berprestasi tinggi melalui penggunaan teknologi genomik terkini.
Dalam masa yang sama, Ahmad Parveez berkata, aspek kemampanan terus menjadi keutamaan, khususnya dalam mendepani keperluan pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti Peraturan Bebas Penyahhutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menuntut rantaian bekalan bebas penebangan hutan dan tahap kebolehkesanan yang tinggi.
“Industri sawit juga berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam agenda peralihan tenaga melalui penggunaan adunan biodiesel dan memastikan keterjaminan makanan global sebagai tanaman minyak sayuran paling efisien dari segi pengeluaran hasil setiap hektar,” tambahnya.
Dalam pada itu, MPOB telah merangka enam bidang utama penyelidikan selari perkembangan dan keperluan industri iaitu prestasi hasil, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, pengilangan, pemprosesan dan mekanisasi, keselamatan makanan dan pemakanan, nilai tambah dan tekno, sosio-ekonomi akan terus mempergiat usaha R&D secara holistik.
“Ini bagi memastikan industri sawit negara kekal mampan, berdaya tahan dan relevan di peringkat global,” katanya.
Mesyuarat PAC juga menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, memacu inovasi serta mempercepat pemindahan teknologi ke arah penyelesaian praktikal yang dapat memberi manfaat kepada keseluruhan industri. –UTUSAN










