DALAM tempoh lebih 11 tahun beroperasi, Studio Iskandar Malaysia (IMS) merancang untuk menambah inventori set penggambaran bagi memenuhi permintaan industri perfileman domestik dan antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IMS, Rashid Karim, hasil perbincangan bersama penerbit, mereka mencadangkan pembinaan set penjara dan ruang dalaman kapal terbang.
Selain itu, terdapat juga cadangan membina rumah-rumah kayu, istana lama serta balai raya bagi memudahkan penggambaran drama atau filem berunsur sejarah dan kemasyarakatan.
Maklum balas tersebut diperoleh daripada penerbit gergasi seperti Astro Shaw, Multimedia dan Skop Production mengenai perancangan projek mereka untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Kita tidak mahu membina suatu kemudahan tanpa permintaan. Oleh itu, kami bergerak bersama penerbit berdasarkan perancangan produk keluaran mereka.
“Set-set ini sangat diperlukan oleh produksi kerana ia melibatkan kos yang tinggi jika mahu dibina secara ‘one-off’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Ujar Rashid, IMS memiliki ruang yang sangat luas untuk dibangunkan, sekitar 30 ekar untuk dilihat sebagai potensi besar pelaburan masa depan bagi membina lebih banyak fasiliti luar.
“Ketika studio ini dibina pada 2013, hanya ada pentas kosong. Jadi produksi perlu sewa dan bina set mereka. kemudian mereka kena musnahkan set tersebut.
“Kalau produksi antarabangsa mungkin tiada masalah kerana bajet besar. Tapi untuk produksi domestik dan serantau, mereka terhad membina banyak set atas faktor kewangan,” katanya.
Rasyid berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pelabur untuk terlibat dalam visi ini.
Tahun lalu, IMS membina set penggambaran hospital dan balai polis yang telah dirasmikan oleh Pengerusinya, Datuk Hans Isaac.
Set itu menarik minat pelanggan dari Singapura, Hong Kong dan syarikat produksi tempatan.
Mengimbas kembali sejarah awal IMS pada 2013 dan 2014, Rashid mengakui studio hanya menyediakan ruang pentas kosong.
Keadaan itu memaksa produksi untuk membawa kru, membina set, dan kemudian memusnahkannya selepas penggambaran selesai.
Proses tersebut bukan hanya memakan masa, malah melibatkan kos yang tinggi terutamanya bagi produksi domestik yang mempunyai bajet rendah.
“Sebab itu, dahulu sukar produksi tempatan masuk ke sini. Walaupun sewa rendah, kos pembinaan set tetap membebankan,” jelasnya.
Namun, dengan adanya inventori set yang pelbagai, kos pembinaan set bagi setiap produksi dapat dikurangkan melalui kaedah pelunasan (amortization) kos merentasi pelbagai projek.
Strategi ini terbukti berjaya apabila komposisi pelanggan IMS kini menunjukkan perubahan ketara berbanding lima hingga enam tahun lalu.
Jika dahulu pelanggan IMS majoritinya adalah dari Amerika Syarikat dan China, kini 50 peratus daripada penyewa studio terdiri daripada produksi tempatan.
Rashid menyatakan rasa bangga melihat filem-filem tempatan seperti One Two Jaga, Legasi: Bomba The Movie, Gayong dan Magik Rompak mula memanfaatkan kemudahan IMS.
“Produksi tempatan kini mula melihat nilai sebenar penggambaran di dalam studio berbanding di lokasi luar yang sering terdedah kepada pelbagai gangguan.
“Kelebihan utama yang ditawarkan oleh IMS adalah persekitaran yang terkawal, di mana penggambaran boleh dijalankan selama 24 jam tanpa gangguan bunyi atau trafik.
“Berbanding penggambaran di bandar lama seperti Muar atau Pulau Pinang, produksi tidak perlu lagi bimbang untuk menutup jalan atau memberi pampasan kepada peniaga tempatan.
“Malah, kos pasca-produksi juga dapat dijimatkan kerana set di IMS dibina tanpa elemen moden yang perlu dipadam secara digital” katanya.
IMS juga menyediakan kemudahan sewaan ribuan barangan prop dan perabot, terutamanya untuk naskhah bertemakan zaman dahulu.
“Prop lengkap, lebih-lebih lagi yang selalu digunapakai untuk tujuan pra-sejarah yang bersifat kuno dan estetik.
“Semua ini memudahkan mereka. Tak perlu beli, hanya sewa ikut keperluan. Inilah cara kita membantu mengurangkan kos pembinaan filem di Malaysia,” katanya.










