PETALING JAYA: IJM Corporation Bhd. (IJM) meletakkan sasaran utama untuk menyenaraikan cabang perniagaan pembinaannya sebagai entiti perniagaan tunggal di Bursa Malaysia menjelang akhir 2027.
Langkah strategik itu merupakan fokus utama kumpulan dalam usaha mencairkan nilai aset bagi mengoptimumkan pulangan kepada pemegang saham selepas berakhirnya tempoh tawaran pengambilalihan oleh Sunway Berhad, baru-baru ini.
Kenanga Investment Bank (Kenanga) dalam nota penyelidikannya berkata, rangka kerja bagi penyenaraian unit pembinaan tersebut dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan akan datang.
“IJM telah menubuhkan jawatankuasa di peringkat lembaga pengarah bagi memantau latihan strategik ini yang dijangka mengambil masa keseluruhan selama tiga tahun untuk dilengkapkan sepenuhnya.
“Pihak pengurusan kini sedang menumpukan usaha ke arah penciptaan nilai serta penambahbaikan kecekapan operasi sebelum proses penyenaraian berasingan itu dilaksanakan, yang mana ia berkemungkinan memerlukan tempoh sekitar 12 bulan sebaik sahaja struktur akhir diputuskan,” katanya.
Selain penyenaraian unit pembinaan, pelan pencairan aset IJM turut merangkumi strategi keluar dari operasi di India yang dijangka mengambil masa dua tahun, serta potensi penyenaraian atau amanah perniagaan bagi aset lebuh raya bertol tempatan.
Bagaimanapun, Kenanga berkata, pelan melibatkan aset tol mungkin mengambil masa lebih lama kerana faktor keperluan kelulusan kawal selia berkaitan pemilikan konsesi.
Dalam pada itu, Kenanga menjangkakan prestasi IJM bagi tahun kewangan 2027 akan menjadi lebih kukuh, dipacu oleh sumbangan daripada projek pembinaan berskala besar termasuk kemajuan pantas dua projek pusat data bernilai RM1.40 bilion di Pulai dan RM1.26 bilion di Elmina.
“Setakat tahun ini, IJM telah berjaya meraih kontrak bernilai RM6.5 bilion, mencapai sasaran tahun kewangan 2026. Ini disokong oleh saluran peluang besar termasuk kontrak pusat data tambahan, projek semikonduktor, serta projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, Kenanga memberi amaran bahawa konflik berterusan di Asia Barat boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan sekiranya harga bahan mentah terus meningkat bagi tempoh tiga bulan akan datang, terutamanya bagi kontrak harga tetap.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Outperform’ terhadap IJM dengan harga sasaran RM3.40, bersandarkan kepada keterlihatan pendapatan yang kuat daripada buku pesanan pembinaan domestik berjumlah RM9.1 bilion. – UTUSAN










