JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedia untuk kembali memainkan peranan aktif membantu UMNO selepas permohonannya untuk kembali menerusi gagasan Rumah Bangsa, diterima.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau akan memikul amanah sebagai ahli parti dengan komitmen dan prinsip yang tidak pernah berubah sejak sebelum dikenakan penggantungan.
“Alhamdulillah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menarik semula penggantungan saya selepas tiga tahun. Saya akan terus berjuang dan berkhidmat. Memikul amanah dengan komitmen dan prinsip. Dulu, Kini, Selamanya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.
Hishammuddin merupakan antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO yang diterima semula ke dalam parti itu termasuklah Khairy Jamaluddin dan juga Tan Sri Syed Hamid Albar.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata mesyuarat MKT parti itu yang berlangsung semalam memutuskan parti bersetuju menerima semula lebih 6,000 ahli dan bekas pemimpinnya. – UTUSAN










